Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menyeru agar rakyat menolak perjuangan militan IS yang bukan sahaja tidak berlandaskan ajaran Islam malah menimbulkan kekacauan.

Baginda bertitah, kegiatan militan berkenaan harus dibendung segera menerusi pelbagai usaha termasuk pengikutnya kembali kepada ajaran Islam sebenar.

"Islam tidak pernah menganjurkan umatnya melakukan perubahan (seperti dilakukan IS) dan ia adalah satu perbuatan kejam.

"Sehubungan itu, beta menyeru rakyat Malaysia agar kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta mengamalkan sikap toleransi," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada istiadat ikrar taat setia menjunjung duli dan pengurniaan darjah kebesaran negeri Pahang sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-85 di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sultan Ahmad Shah juga mahu hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri diteruskan bagi memastikan Pahang terus menikmati pembangunan dan kebajikan rakyat terbela.

Baginda bertitah, negeri ini menikmati pembangunan pesat hasil daripada kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri seperti pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), Pelabuhan Kuantan serta pelbagai infrastruktur lain.

Titah baginda, baginda sentiasa berpegang kepada lafaz 'raja dan rakyat berpisah tiada' sepanjang 41 tahun pemerintahan baginda yang mempunyai erti dan implikasi sangat signifikan iaitu raja serta rakyat wujud bersama-sama untuk menjadikan sebuah negeri terus makmur dan membangun.

Baginda berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan pingat kepada 91 orang penerima hari ini daripada keseluruhan 1,033 penerima.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail dianugerahkan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri, manakala Pengarah Kesihatan Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah (DSAP) yang membawa gelaran Datuk.