MALAYSIA
Sultan Pahang, Tengku Ampuan seru rakyat doakan keselamatan misi kemanusiaan ke Gaza

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menyeru semua rakyat bersama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza. - Gambar Facebook Kesultanan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyeru semua rakyat bersama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
"Semoga misi kemanusiaan GSF ke Gaza beroleh kejayaan," demikian titah baginda berdua menerusi hantaran berserta poster yang dimuat naik menerusi laman Facebook Kesultanan Pahang malam tadi.
Sebanyak 24 kapal berlepas dari Pelabuhan Barcelona ke Gaza pada 1 Sept lepas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa dari 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.
Difahamkan fasa seterusnya akan menyaksikan kumpulan kedua terdiri 15 delegasi Malaysia berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 Sept ini, serentak dengan kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia.GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami