Skip to main content

Malaysia

Sultan Pahang titah kerajaan negeri, agensi pergiat usaha cegah banjir lebih awal

KDPB SULTAN PAHANG TITAH PERGIAT USAHA CEGAH BANJIR, TANGANI PENCEROBOHAN TANAH HARAM KUANTAN, 1 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menitahkan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan supaya mempergiatkan usaha pencegahan banjir lebih awal, khususnya ketika negeri ini kini memasuki bulan September kredit: Kesultanan Pahang
Sultan Pahang pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz hari ini. - Gambar Facebook Kesultanan Pahang
Advertisement

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya mempergiatkan usaha pencegahan banjir lebih awal, khususnya di negeri berkenaan.

Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa pihak berkaitan perlu memberikan perhatian segera terhadap kerja-kerja pembersihan dan pendalaman parit serta longkang, khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir ketika memasuki bulan September.

“Baginda turut bertitah agar pihak berkaitan memastikan projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan secara berperingkat berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” menurut hantaran itu.

Hantaran berkenaan memaklumkan Sultan Pahang bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan kerajaan negeri dan agensi terlibat supaya terus memantau serta mengambil tindakan terhadap pencerobohan tanah secara haram di seluruh Pahang dengan lebih berkesan, tegas dan bijaksana berlandaskan undang-undang.

“Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana perkembangan kes-kes mahkamah berkaitan pencerobohan tanah haram dilihat memihak kepada Kerajaan Negeri Pahang,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement