Sultan Selangor amat dukacita insiden bakar suar, tidak berkenan budaya samseng

Baginda turut tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya penyokong Selangor FC.
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan amat dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Terengganu, yang didakwa membabitkan penyokong pasukan bola sepak Selangor FC pada Ahad lepas.
Sebagai Penaung Selangor FC, baginda turut tidak berkenan dengan budaya samseng dan gangsterisme dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya penyokong Selangor FC.
"Baginda mahu agar pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekiranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
"la sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang," menurut kenyataan Istana Alam Shah hari ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC supaya sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
Baginda turut mencadangkan agar penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan diharamkan daripada memasuki stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu.
Semalam, 33 penyokong Selangor FC direman bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang dicetuskan di jambatan tersebut pada Ahad lepas.
Kejadian kira-kira 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super melibatkan Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor memaklumkan mereka antara kira-kira 400 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, malam tadi, bagi menjalani saringan air kencing.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


