Sultanah Nur Zahirah titah semua pihak perlu berperanan sebagai "Khairul Ummah"

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada legenda sukan olahraga negara, Datuk Marina Chin (kiri) pada majlis hari ini. - Foto Bernama
KUALA NERUS: Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bertitah semua pihak perlu berperanan sebagai "Khairul Ummah", dengan menjadi umat terbaik bukan sahaja unggul dalam ibadah namun tampil dalam kepimpinan ilmu, keadilan sosial serta keutuhan nilai kemanusiaan.
Ringkasan AI
- Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah menyeru semua pihak menjadi -Khairul Ummah-, bukan sahaja unggul dalam ibadah tetapi juga dalam kepimpinan ilmu, keadilan sosial dan nilai kemanusiaan.
- Graduan UniSZA digesa memanfaatkan teknologi AI untuk kemaslahatan, dengan integrasi ilmu naqli dan aqli agar kemajuan teknologi selari dengan iman dan akhlak.
- Sebanyak 4,215 graduan menerima ijazah pada Konvokesyen UniSZA ke-17, manakala legenda sukan Datuk Marina Chin dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan.
"Dunia kini menyaksikan sebahagian manusia hidup dalam kemewahan teknologi manakala sebahagian lain terperangkap dalam kemiskinan dan konflik. Konsep Khairul Ummah menuntut graduan UniSZA agar menjadi pemikul tanggungjawab untuk menegakkan keadilan global.
"Segulung ijazah yang diterima hari ini bukan penamat tetapi pembuka jalan. Ilmu yang dimiliki adalah amanah. Amal yang dilakukan selepas ini akan menjadi ukuran sama ada saudara dan saudari (graduan) termasuk dalam kalangan Khairul Ummah atau sebaliknya.
"Jadilah generasi yang mampu menggabungkan kecerdasan teknologi dengan kearifan nilai, menegakkan keadilan global dengan keberanian dan membina pembangunan sosial berlandaskan keutuhan adab," titah baginda pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini hari ini.
Sultanah Nur Zahirah juga berkenan menzahirkan doa agar graduan UniSZA menjadi generasi "Khairul Ummah" yang membawa ilmu sebagai cahaya, teknologi sebagai alat, keadilan sebagai pedoman dan pembangunan adab sebagai misi.
Sebanyak 4,215 graduan UniSZA menerima Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Diploma Pascasiswazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma pada konvokesyen ke-17 yang bermula hari ini hingga 6 Nov.
Pada majlis itu, legenda sukan olahraga negara Datuk Marina Chin turut menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


