KUANTAN: Kerajaan Pahang hari ini menggumumkan untuk menaikkan nilai sumbangan Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) daripada RM200 tahun ini kepada RM300 bermula tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, berkata inisiatif itu adalah untuk menggalakkan kadar kelahiran  susulan rekod kelahiran di negeri ini yang masih rendah.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, sejak Januari sehingga April 2022, hanya 6,676 bayi dilahirkan di Pahang, dengan Kuantan merekodkan kelahiran tertinggi iaitu 2, 413, diikuti Temerloh (680) dan Pekan (577).

Tambahnya, meskipun menjadi negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, Pahang hanya mempunyai 1.67 juta penduduk.

"Pada tahun ini, insentif diberikan berjumlah RM200 melibatkan RM100 bagi simpanan dan RM100 dalam bentuk barangan bayi, dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta.

"(Untuk tahun hadapan) kerajaan bersetuju untuk naikkan nilai sumbangan kepada RM300 untuk setiap bayi yang dilahirkan di Pahang. Daripada jumlah itu, mungkin RM150 dalam bentuk simpanan dan RM150 barangan... tetapi sebaiknya RM200 sebagai simpanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pahang Pride Kid 2022 Peringkat Negeri Pahang di Kuantan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, bayi yang lahir di negeri ini meskipun ibu bapanya berasal dari negeri lain, tetap layak mendapatkan insentif itu secara automatik.

Katanya lagi, sebagai simbolik, bagi setiap satu kelahiran di Pahang, sebatang  pokok akan ditanam di hutan, dengan jangkaan lebih 25,000 pokok ditanam pada tahun ini.

"Ia sekali gus mampu menyumbang kepada kelestarian biodiversiti hutan di negeri Pahang," katanya.