KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak terlibat dalam pertuduhan kes pengubahan wang haram kerana sumbangan yang diterima Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak menyalahi undang-undang.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah pada Isnin. 

Beliau memberitahu, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-36, Junaith Asharab mengesahkan yang 13 cek yang dikeluarkan oleh Mastoro Kenny IT Consultant & Services adalah untuk tujuan kebajian dan sumbangan.

Menurutnya, saksi terbabit juga mengakui berjumpa dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bersama adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi di kediamannya pada 2016 bagi menyerahkan cek untuk disumbangkan bagi membangunkan masjid dan Tahfiz Al-Quran di Bagan Datuk.

Dalam pada itu, ketika pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, saksi tersebut mengakui, kesemua 13 cek daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services tiada kaitan dengan projek MyEG Services Sdn Bhd.

Malah beliau juga setuju bahawa projek MyEG tidak pernah dijanjikan oleh Ahmad Zahid tetapi dijanjikan oleh Mohamad Nasaee.

Sementara itu, katanya, saksi ke-62, Mubarak Hussain Akhtar Husin yang juga pemilik Syarikat Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd dalam keterangannya memaklumkan, cek peribadi berjumlah RM2 juta itu merupakan sumbangan ikhlas daripadanya buat sekolah tahfiz milik Ahmad Zahid di Melaka bagi menampung kos-kos bulanan sekolah tersebut, pada 2016.

Dalam pada itu, beliau turut berhujah bahawa saksi, pengurup wang, Omar Ali Abdullah, individu yang didakwa melakukan pengubahan wang haram bagi pihak Ahmad Zahid Hamidi tidak melaporkan transaksi penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta kepada cek yang diarahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu kepada Bank Negara Malaysia adalah tidak kredibel kerana keterangannya tidak statik, sebaliknya, bertukar-tukar.

Dalam kertas pertuduhan yang ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua buah rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co yang merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Hisyam Teh memberitahu, saksi-saksi ini dianggap sebagai troublesome kepada pendakwaan.

Mahkamah menetapkan prosiding bersambung pada Selasa pukul 2.30 petang.