SIBU: Kekayaan sumber air sungai memberikan kelebihan kepada Sarawak untuk membangunkan industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju yang memerlukan tenaga bersih serta air bagi sistem penyejukan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata kelebihan itu perlu dimanfaatkan menerusi pengurusan sungai yang baik bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi, sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi negeri.
“Kalau Sarawak banyak sungai, kita bersihkan dan kita rawat air untuk tenaga hijau serta sistem penyejukan bagi industri pembuatan berteknologi tinggi,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Abang Johari berkata air dan tenaga adalah dua keperluan penting dalam pembangunan teknologi tinggi, menjadikan pemeliharaan sungai sebahagian daripada usaha menarik kegiatan ekonomi bernilai tinggi ke Sarawak.
Beliau berkata Malaysia juga perlu meningkatkan keupayaan mencipta teknologi sendiri bagi melepasi perangkap pendapatan sederhana.
Menurut Abang Johari, pembangunan industri semikonduktor dan penerokaan ekonomi angkasa adalah antara usaha Sarawak membina keupayaan teknologi, disokong pembangunan modal insan melalui pendidikan percuma kepada anak negeri.
“Kita mesti cuba,” katanya, sambil menegaskan anak Sarawak perlu terus berusaha menguasai teknologi baharu.
Abang Johari ketika menyentuh mengenai pembangunan tenaga berkata sungai adalah aset penting bagi penjanaan hidroelektrik serta menyokong sumbangan Sarawak kepada Grid Tenaga ASEAN.
Beliau turut mencadangkan pemanfaatan aliran air sungai melalui konsep empangan bertingkat bagi menjana elektrik, dengan penggunaan simulasi kejuruteraan untuk menerangkan cara sistem itu beroperasi.
“Pengurusan air turut menyokong keterjaminan makanan menerusi penggunaan kolam takungan dan kitaran semula air bagi penanaman padi.
“Pembangunan itu perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat mengelak daripada membuang sampah ke dalam sungai bagi memelihara ekosistem akuatik dan sumber pendapatan penduduk, khususnya nelayan.
-- BERNAMA