SURINA Shukri, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meninggal dunia pagi ini.

Surina, 48 tahun, menerajui MDEC sejak 2019, dan menyumbang dalam pembangunan sejumlah agenda digital kebangsaan.

Sebelum menyertai MDEC, beliau telah bertugas sekitar 17 tahun dalam bidang perbankan dan pelaburan, termasuk di JPMorgan Chase & Co.

Pada 2018, beliau meninggalkan JPMorgan Chase dan memulakan syarikat SheNovation Ventures, memfokuskan kepada khidmat nasihat melibatkan teknologi kewangan dan rantaian-blok, sebelum pada 2019 menjadi CEO MDEC.

Selepas meninggalkan MDEC pada Ogos 2021, beliau turut terlibat dalam beberapa syarikat, termasuk Capital A dan CIMB. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan keluarganya, Surina meninggal dunia selepas lama bertarung dengan kanser, di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, kira-kira jam 9 pagi.

Arwah meninggalkan suami, Jasmin Ong Rashid dan tiga anak, Ean, Arianna dan Zac.

Jenazahnya dijangka disembahyangkan di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail lewat petang ini.

Sementara itu, ibu saudara Allahyarham, Dr Rohani Ibrahim, memaklumkan kepada Astro AWANI, Surina meninggal dunia selepas menghidap kanser payudara.

Katanya, arwah bertarung dengan kanser sejak 2015 dan didiagnosis bebas daripada penyakit tersebut selepas dua tahun menerima rawatan di sebuah hospital di United Kingdom.