Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri bagi menyiasat kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan di Tanjung Bungah yang telah menyebabkan 14 mangsa tertimbus.

Ketua Menteri Lim Guan Eng mengakui terkejut dengan kejadian itu yang melibatkan kehilangan banyak nyawa termasuk tiga daripadanya disahkan terbunuh.

Susulan kejadian itu katanya, beliau akan bertemu dengan Gabenor Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas mendapatkan persetujuan berhubung penubuhan suruhanjaya siasatan tersebut termasuk berjanji akan mencari punca kejadian.

Beliau berkata kejadian itu adalah satu kemalangan di tempat kerja yang memerlukan jawapan yang lengkap dan terperinci untuk diserahkan kepada pakar bagi menyiasat punca sebenar kejadian.

Beliau juga berasa sedih dan terkejut sebaik sahaja menerima berita mengenai kemalangan tersebut dan akan membantu semua pekerja pembinaan yang terjejas akibat kejadian itu.

Guan Eng ditemui ketika membuat tinjauan di lokasi kejadian tanah runtuh dan menerima taklimat daripada pegawai-pegawai jabatan bomba dan penyelamat mengenai perkembangan semasa kejadian itu.

Pada masa yang sama, beliau turut mengarahkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Maimunah Mohd Sharif untuk melakukan pemeriksaan segera ke atas semua tapak pembinaan di negeri iti bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira jam 8.30 pagi tadi, seramai 14 mangsa disahkan tertimbus dengan tiga lelaki telah berjaya dibawa keluar.

Mereka yang masih berada di bawah timbunan tanah itu dipercayai terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh dan Rohingya dan seorang warga Malaysia.