Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Suspek bakar wanita warga emas di Kepong direman tujuh hari

KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus bercakap pada sidang media ketika Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus bercakap pada sidang media ketika Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suspek yang terlibat dalam kes menyimbah petrol dan membakar seorang wanita di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong di sini awal bulan ini, direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata lelaki berusia 59 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu ditahan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Fadil berkata polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut, antaranya sebuah botol minuman berisi cecair disyaki minyak petrol, sebuah topi keledar, sehelai baju kemeja, sebuah motosikal Yamaha 135LC serta satu rangkai kunci motosikal berserta cukai jalan.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengakui terlibat dalam kejadian berkenaan ekoran tidak berpuas hati terhadap mangsa. Suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 9 Ogos lepas, seorang wanita warga emas melecur kira-kira 50 peratus pada badan selepas disimbah cecair dipercayai petrol dan dibakar di premis berkenaan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement