Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah kereta yang dipandu secara melulu oleh seorang lelaki warga tempatan disyaki membawa dadah dari Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ke arah Jinjang, ibu negara, pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian pada 6.30 petang itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur sedang menjalankan operasi mengekori sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris berwarna putih dipandu suspek disyaki membawa dadah.

"Sewaktu tiba di tepi Jalan Besar Kepong, pihak polis telah membuat halangan dengan menggunakan dua buah kenderaan pasukan di bahagian hadapan serta belakang kenderaan suspek.

"Seorang anggota telah meluru ke kenderaan suspek dengan menjerit 'Polis!' dan menunjukkan kad kuasa polis namun suspek enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan secara melulu ke arah pegawai polis tersebut.

"Pegawai polis itu melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan suspek untuk mempertahankan diri serta memberhentikan kenderaan tersebut supaya tidak membahayakan orang awam yang lain namun suspek meloloskan diri," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Tambah Mazlan, hasil siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat sewaan kereta.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek diteruskan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana–mana Balai Polis berdekatan," jelas beliau.