Suspek utama kes godam 17 mesin pengeluaran wang automatik, ATM akan diekstradisi ke Malaysia dengan bantuan polis London.

Lelaki berkenaan, Paladi Grigore, kini sedang didakwa di Mahkamah United Kingdom atas jenayah yang sama yang dilakukan di negara itu.

Suspek ditahan di London pada 24 Oktober lalu kerana disyaki mendalangi jenayah yang sama sekitar bulan Mei.

Beberapa bahan bukti seperti topi dan pakaian yang dipakai suspek, sama seperti dalam rakaman CCTV di Malaysia.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Siber dan Multimedia, SAC Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya masih memerlukan bukti kukuh untuk menuduh suspek.

Perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara juga akan dilakukan bagi bantuan perundangan mendakwa suspek.

Tambah Mohd. Kamarudin, siasatan mendapati kegiatan penggodaman didalangi 10 hingga 12 suspek, dan Grigore dipercayai telah menggodam empat mesin ATM di negara ini.

September lepas, negara digemparkan dengan kes penggodaman 17 mesin ATM di ibu negara, Selangor, Melaka dan Johor Bahru melibatkan kerugian lebih RM3,000,000.