Suspek yang ditembak mati dalam kes samun di Persiaran Syed Putra semalam menggunakan MyKad individu lain.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa memberitahu, siasatan awal mendapati MyKad yang dijumpai dalam dompet suspek adalah kad pengenalan hasil samun di Kelana Jaya, pada 1 Disember lalu.

"Jadi identiti suspek belum di kenal pasti dan kami akan dapatkan semakan dari Jabatan Pendaftaran Negara," jelas beliau.

Khairi turut memberitahu, kereta BMW yang dibawa lari juga merupakan kereta yang disamun dalam kes yang sama.

"Kereta BMW yang dibawa lari satu lagi suspek merupakan kereta milik seorang Pengetua sebuah sekolah di Damansara Utama," tambahnya.

Beliau turut memberitahu, suspek cedera yang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian pagi Ahad itu, seorang penjenayah mati ditembak dan seorang lagi cedera parah manakala seorang lagi yang membawa hasil samun berjaya meloloskan diri sebaik menyamun sebuah keluarga di Persiaran Syed Putra di ibu negara.

Suspek yang melarikan diri itu kini sedang diburu.