KUALA LUMPUR:Suspek utama yang disyaki terbabit dalam samun dan tetak bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata suspek merupakan antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua kes samun termasuk rumah Wan Hassan. 

"Ya, ada tangkapan, setakat semalam (Ahad), 10 orang termasuk suspek utama kes ini,

"Semua suspek, termasuk suspek utama itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan oleh sepasukan polis," katanya.

Menurutnya, mereka ditahan selepas usaha memburu suspek dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan Wan Hassan maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, dekat sini.

BACA: Pesara Mardi maut, isteri cedera ditetak dengan parang

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, rumah dihuni mangsa dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng memaksa mangsa memberikannya wang. Mangsa cuba melawan namun ditetak di muka dan leher manakala isterinya ditetak di bahagian bahu kanan.

Satu sidang media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengenai kes dan tangkapan itu dijangka diadakan hari ini.