SHAH ALAM: Suspek kes tembak di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu, Kelantan untuk disambung reman pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek akan disambung reman bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan.

"Suspek dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi permohonan untuk sambung reman bagi siasatan lanjut berkaitan kes ini," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Isnin, suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan bersama pistol di hadapan sebuah hospital swasta di Jalan Bayam, Kelantan.

Suspek, Hafizul Hawari, 38, ditahan di lokasi yang hanya beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada jam 3 petang.

Terdahulu, Ahad lalu, suspek bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mangsa yang merupakan seorang pengawal peribadi itu parah akibat terkena tembakan berkenaan. - Sinar Harian