KUALA LUMPUR:Suspek yang terlibat dalam kes samun dan bunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong dikenal pasti menerusi pengecaman wajah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata isteri mangsa yang berada di tempat kejadian mengecam wajah suspek sekali gus memudahkan siasatan polis.

Katanya, polis juga dapat mengaitkan suspek dengan kejadian itu dengan penemuan dompet Dr Wan Hassan di lokasi samun kedua yang dilakukan oleh suspek yang sama di Taman Titiwangsa, di sini, jam 5.30 pagi semalam.

"Ia seterusnya membawa penahanan 10 lelaki berusia 20 hingga 29 tahun jam 11.24 malam tadi di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur.

"Lapan daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan termasuk pecah rumah dan samun. Selain itu, seorang juga didapati positif dadah.

"Polis sedang memburu seorang kenalan suspek yang terlibat dalam kedua-dua kes di Bansar dan Titiwangsa itu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

BACA: Pesara Mardi maut, isteri cedera ditetak dengan parang

BACA: Suspek kes samun, tetak bekas Pengarah Mardi ditahan


Katanya polis merampas 22 barang kes termasuk kereta serta telefon bimbit suspek.

Beliau berkata polis percaya semua suspek sudah lama aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah.

Katanya, semua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Dr Wan Hassan maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di kediamannya di Bukit Bandaraya, Bangsar semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, rumah dihuni mangsa dan isteri, dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan parang.

Suspek yang tidak memakai topeng dipercayai meminta wang yang menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak pada muka dan leher manakala isterinya ditetak di bahagian bahu kanan.