Skip to main content

Malaysia

Suspek tembak kereta Komander AKPS disyaki guna senjata semi automatik

BUKIT KAYU HITAM, 25 Feb -- Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dalam satu kejadian di sini awal pagi tadi.  Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kenderaan dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditembak dalam satu kejadian awal pagi Rabu. - Foto Bernama

BUKIT KAYU HITAM: Polis percaya suspek yang menembak kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir di sini awal pagi Rabu, menggunakan senjata api jenis semi automatik.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mengesahkan dua das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan mangsa yang sedang bergerak pada jarak kira-kira satu meter.

Advertisement

"Kita percaya suspek menggunakan senjata semi automatik kerana jumpa peluru telah pecah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai melibatkan dua suspek menaiki sebuah motosikal berkuasa kecil dan berpakaian serba gelap serta bertopi keledar bertutup penuh manakala mangsa memandu bersendirian.

Beliau berkata, polis telah melancarkan Ops Tutup termasuk di pintu masuk sempadan negara di Durian Burung, Padang Terap sejurus kejadian.

Adzli berkata, kejadian itu sebagai cabaran dalam melaksanakan tugas kepada bukan sahaja AKPS, malah semua agensi penguatkuasaan.

"Saya menyeru semua (penguat kuasa) sentiasa waspada. Keselamatan menjadi keutamaan dalam menjalankan tugas,” katanya.

Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat subuh dilaporkan terselamat dalam kejadian itu. - Bernama

 

 

 

Must Watch Video