Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kes membakar kenderaan rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Selasa lepas.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di kediamannya di Kangar.

Beliau berkata polis kini mengesan seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Mie Tomoi, yang disyaki turut terlibat dalam kejadian itu.

“Lima orang telah ditahan bagi membantu siasatan kes itu dan kesemua mereka sedang direman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Mushar berkata siasatan awal polis mendapati dua daripada lelaki yang disyaki terlibat dalam kes itu turut terlibat dalam kejadian mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan pada September lepas.

Dalam kejadian 5.45 pagi pada 22 Mac lepas, kereta jenis Honda Accord berwarna hitam milik Mohd Asri terbakar di bahagian enjin serta tayar depan sebelah kiri manakala cermin belakang dan depan dipecahkan.

-- BERNAMA