KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman terbaharu Israel mengenai rancangan peluasan penempatan bernilai AS$2.3 bilion di Wilayah Palestin yang diduduki, menggelar rancangan itu suatu percubaan sengaja untuk mengukuhkan pendudukan haram rejim Zionis dan menjejaskan hak rakyat Palestin yang tidak boleh dirampas.
Menurut Kementerian Luar, pelan tersebut ialah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan dan serangan langsung terhadap prospek keamanan yang adil dan berkekalan.
“Tindakan sedemikian menunjukkan Israel terus tidak menghiraukan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan dan Konvensyen Geneva Keempat.
"Rampasan berterusan tanah Palestin dan peluasan penempatan hanya akan mengekalkan ketidakadilan, ketidakstabilan dan peningkatan selanjutnya di rantau berkenaan. Rakyat Palestin telah mengalami berdekad pendudukan, perampasan dan pencabulan hak asasi mereka secara sistematik," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Malaysia, pengembangan penempatan berterusan rejim Israel tidak boleh dibenarkan di bawah sebarang alasan sekalipun.
"Sebaliknya, ia jelas mencerminkan usaha yang dirancang untuk menafikan hak sah dan tidak boleh dirampas rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan untuk Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat di Wilayah mereka sendiri di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur," katanya.
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan PBB untuk menolak dan mencabar rancangan pembesaran itu dengan tegas, selain mengulangi sokongan sejak sekian lama untuk penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
-- BERNAMA