MALAYSIA
Sutera Harbour raih anugerah Platinum berganda MyTQA, tekad pacu pelancongan Sabah

Gerry (empat dari kiri) bergambar kenangan selepas Sutera Harbour menerima pengiktirafan Anugerah Platinum MyTQA. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sutera Harbour melakar sejarah tersendiri apabila dua hotel utamanya, The Magellan Sutera Resort dan The Pacific Sutera Hotel, masing-masing menerima Anugerah Platinum di bawah kategori acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Penganugerahan itu menerusi program pensijilan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) yang disahkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Dalam kenyataan Sutera Harbour berkata, kejayaan ini menegaskan komitmen kumpulan itu memastikan standard hospitaliti bertaraf dunia, khususnya dalam penganjuran persidangan, acara dan pengalaman tetamu yang bermakna.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sutera Harbour, Gerry D’Cruz berkata pencapaian tersebut membuktikan dedikasi dan profesionalisme warga kerja Sutera Harbour dalam industri pelancongan dan acara.“Sutera Harbour terus berusaha meningkatkan penanda aras MICE di Sabah dan Malaysia. Anugerah ini adalah bukti semangat, inovasi dan dedikasi pasukan kami dalam mencipta pengalaman yang luar biasa untuk setiap tetamu,” katanya.
Sejak program MyTQA diperkenalkan pada tahun 2014 dan diperkemas pada tahun 2022 dengan penambahan elemen serta kriteria baharu, sebanyak 13 produk pelancongan di Sabah pelbagai kategori telah diberikan penarafan MyTQA.
Sementara itu, Pengarah MOTAC Sabah, Ibrahim Othman berkata, pensijilan yang sah untuk tiga tahun itu akan dinilai semula pada setiap penggal bagi memastikan produk terlibat terus mengekalkan standard ditetapkan.
“Penilaian dibuat berdasarkan tujuh kriteria termasuk keselamatan pelawat, kemudahan, pertumbuhan lestari, sumbangan kepada komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR), kebajikan kakitangan, amalan alam sekitar, tahap kesihatan serta kualiti keseluruhan pengalaman pelancong dan tetamu,” jelasnya.
Turut menerima pengiktirafan Platinum dalam kategori MICE ialah Shangri-La Tanjung Aru Resort, manakala ibis Styles Hotel Kota Kinabalu dianugerahkan penarafan Emas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami