SHAH ALAM: Sebuah syarikat alat ganti kenderaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 2,388 unit 'bearing' atau galas berjenama palsu.

Armada Parts Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Teh Yoong Hon, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Syarikat itu didakwa mempunyai 2,388 unit alat ganti berjenama palsu itu dalam kawalannya bagi maksud perdagangan di sebuah premis di Taman Sri Batu Caves, Gombak, pada 1 petang, 30 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 102(1)(C) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 102(1)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM15,000 bagi setiap barangan tiruan dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 4 Okt untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Nurul Ain Shafie manakala peguam Jay Moi Wei Jiun mewakili syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey dalam kenyataan hari ini berkata alat ganti berkenaan disita pihaknya ketika operasi membanteras barangan tiruan pada 30 Ogos lepas di Batu Caves, Gombak.

"Operasi itu dijalankan pada kira-kira pukul 10.30 pagi, susulan aduan dan pengesahan awal yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar berhubung aktiviti urus niaga sebuah premis yang menjual alat ganti kenderaan tiruan dan disyaki terlibat dengan penyalahgunaan cap dagang tanpa kebenaran pemilik sah.

"Semasa serbuan dijalankan, dijumpai 2,388 alat ganti kenderaan tiruan yang disimpan dalam sebuah stor di premis yang diadu sebelum disita untuk tujuan siasatan dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM716,400," katanya.

-- BERNAMA