Skip to main content

Malaysia

Syarikat kecil, kontraktor tempatan terima kuota diesel 300 liter sebulan - Armizan

KUALA PENYU, 18 Julai -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong Menumbok hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.   KUALA PENYU, July 18 -- Domestic Trade and Cost of Living Minister Datuk Armizan Mohd Ali delivers his speech at the launch of the MADANI Adopted Village Project at Kampung Sekalong, Menumbok, today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong Menumbok hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

MENUMBOK: Syarikat kecil dan kontraktor tempatan akan diberikan kuota diesel sebanyak 300 liter sebulan menerusi kad armada bagi mengurangkan kesan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan sejak 1 Julai lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata kelonggaran itu diberikan khusus kepada kenderaan diesel yang didaftarkan atas nama syarikat perkongsian atau milikan tunggal di seluruh negara untuk kegunaan perniagaan.

Beliau berkata langkah intervensi segera yang dicadangkan kementeriannya itu telah diluluskan Kabinet bagi membantu pengusaha mikro yang sebelum ini menghadapi kesukaran memohon bantuan kerana kenderaan didaftarkan atas nama syarikat.

“Syarikat kecil ini mereka tidak termasuk dalam dua sektor untuk Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu sektor pengangkutan awam dan sektor pengangkutan barangan atau keperluan pengguna. Mereka guna kenderaan itu untuk keperluan perniagaan kecil mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong, di sini hari ini.

Sementara itu, Armizan menegaskan Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka untuk menambah baik pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan berpandukan tiga teras utama.

“Sebarang mekanisme yang diperlukan itu pertama adalah mengambil kira faktor kos rakyat, kedua adalah faktor pengurusan risiko ketirisan, dan ketiga pastinya adalah ruang fiskal kerajaan. Tiga faktor ini cukup penting untuk kita ambil kira,” katanya.

Beliau berkata bagi memantapkan pelaksanaan pemberian subsidi diesel di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, agensi di peringkat negeri akan digerakkan untuk membantu urusan pendaftaran serta mengesahkan kumpulan sasar yang layak supaya tiada pihak tercicir.

Mengenai Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong, Armizan berkata sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi melaksanakan lima projek yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Ahli Parlimen Papar itu berkata projek berkenaan meliputi pembinaan dewan serba guna terbuka dan mercu tanda Kampung Sekalong, selain menaik taraf jalan kampung, membina serta membaiki pembetung dan memasang lampu solar.

“Projek ini dimulakan segera, kena selesaikan pada tahun ini. Projek pun projek berskala kecil dilaksanakan setelah pelancaran selesai dan kita jangkakan dalam masa dua hingga tiga bulan boleh siap,” katanya.

Beliau berkata Kampung Sekalong merupakan Kampung Angkat MADANI ketiga kementerian itu selepas Mukim Kaiduan, Papar pada 2024 dan Mukim Tikam Batu, Kedah tahun lepas.

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar menerusi penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, jalan raya, lampu jalan, akses Internet serta fasiliti komuniti di kampung yang memerlukan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement