KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disifatkan sebagai pemimpin muda yang berprinsip, berdaya tahan dan mempunyai potensi untuk memegang jawatan Perdana Menteri pada masa depan.
Menurut bekas Senator, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, Syed Saddiq boleh dijadikan contoh kepada golongan muda kerana berpegang teguh kepada prinsip, bertanggungjawab serta menghormati sistem keadilan dan institusi kehakiman negara.
Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang individu berdepan proses perbicaraan mahkamah selama enam tahun, namun pada masa sama masih mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Walaupun saya tidak mengenali Syed Saddiq secara dekat, saya difahamkan beliau tidak pernah mengelak atau meminta penangguhan sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung.
“Malah, beliau juga sentiasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan bersungguh-sungguh membantu penduduk di Muar,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Syed Ali berkata, ketabahan yang ditunjukkan Ahli Parlimen Muar itu membuktikan beliau seorang pemimpin muda yang cekal, jujur dan berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang.
“Bagaimanapun, saya melihat Syed Saddiq sentiasa tenang, tabah bersama keluarga dan masih mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan Parlimen Muar,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Syed Saddiq sebagai seorang pemimpin politik muda yang memiliki keperibadian baik, berdaya tahan serta komited dalam membantu rakyat.
“Melihat kepada gerak kerja politik, ketabahan serta pegangannya terhadap prinsip ‘berani kerana benar’, saya berpendapat Syed Saddiq mempunyai potensi besar dalam landskap politik negara dan berkeupayaan memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti,” katanya.
Pada Isnin, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, panel dua hakim, iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu Jun tahun lalu.