PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, panel dua hakim, iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu Jun tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel itu bagaimanapun membuat keputusan berbeza.
Che Mohd Ruzima dan Sequerah mendapati tidak ada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan alasan untuk merayu keputusan mahkamah.
Sabitan dan hukuman berkenaan adalah berhubung dua pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan harta dan dua kesalahan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.