KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak lagi akan menerima manfaat subsidi yang diberikan kerajaan berkenaan tarif elektrik dan haji.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan tidak akan menaikkan kadar tarif elektrik bagi kumpulan B40.

Tambah beliau, Pangkalan Data Utama (PADU) akan mengurus dan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

“Pemberian subsidi bersasar jadi isu, Kita tidak menaikkan kadar elektrik melainkan kepada T20. Untuk T20 saja iaitu rumah besar, tidak akan diberi subsidi elektrik dan pangkalan data utama PADU akan dapat menyelaraskan semua.

"Ini sama seperti haji. Bantuan kewangan haji kepada B40 kita tambah, tetapi kepada T20 tidak ada lagi tambahan dan subsidi dari kerajaan.

"Mereka (T20) harus tanggung kos sepenuhnya haji kerana mereka mampu," katanya pada sesi soal jawab lisan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada persidangan Dewan Rakyat yang mahu mengetahui dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksanakan sejak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.

Sebelum ini, Anwar berkata, hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi. - Sinar Harian