KUALA LUMPUR:Lembaga Tabung Haji masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung pelaksanaan haji tahun hadapan.

“Untuk makluman semua, Tabung Haji masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun 1442H/2021M,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Surat tawaran tunai haji bagi tahun 1442H/2021M akan dikeluarkan sebaik sahaja pihak Tabung Haji menerima ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi berkaitan dengan pelaksanaan haji tahun hadapan.”

Pada Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan Malaysia menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. 

Dalam perkembangan berkaitan, Tabung Haji menggesa pendeposit supaya mengemas kini maklumat peribadi masing-masing sekiranya terdapat sebarang perubahan pada alamat, nombor telefon dan penamaan waris.

Menurut Pengarah Eksekutif Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, langkah itu bagi memudahkan pihaknya menghubungi pendeposit.

Selain itu, ia juga memastikan surat tawaran tunai haji selamat diterima pendeposit selepas bertukar alamat.

Proses kemas kini boleh dilakukan di mana-mana pejabat cawangan atau pusat perkhidmatan Tabung Haji serta Pusat Transformasi Bandar (UTC).