JASIN: Dua bekas pengamal media di Melaka hari ini menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA bertujuan membantu komuniti media yang memerlukan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menyampaikan sumbangan kepada bekas penerbit rancangan RTM Melaka Norazlin Mohamad, 52, yang kini menghidap masalah buah pinggang dan diabetes di kediamannya di Merlimau, Jasin.

Norazlin menghidap kencing manis sejak 2017 dan didiagnosis sakit buah pinggang setahun kemudiannya.

Komplikasi diabetes turut menjejaskan penglihatan Norazlin selain menyebabkan kaki kanan beliau terpaksa dipotong pada 2020.

Norazlin kemudiannya mengambil keputusan untuk bersara awal pada 2022 atas sebab kesihatan termasuk perlu menjalani rawatan dialisis.

Beliau kini menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis Tenang di Bemban di sini.

Norazlin, pernah berkhidmat di Unit Berita Radio RTM Angkasapuri selama 26 tahun (kontrak 12 tahun, tetap berpencen 14 tahun) sebelum berpindah ke RTM Melaka sebagai penerbit rancangan pada 2017.

Beliau adalah antara 32 rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Selain Norazlin, sumbangan Tabung Kasih@HAWANA turut disampaikan kepada Jaafar Ne'emat, 80, yang menghidap sakit jantung sejak Mei 2023.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj yang juga Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama di kediaman Jaafar di Alor Gajah.

Jaafar, pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan di Utusan Malaysia selama 20 tahun selain di Berita Harian dan Melaka Hari Ini.

Bekas Yang Dipertua Kelab Media Melaka pada 2010-2015 itu kini sedang menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Alor Gajah.

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

-- BERNAMA