KUANTAN: Dua bekas pengamal media di Pahang menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan dan kesukaran hidup.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pengarang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Arul Rajoo Durar Raj di kediaman mereka.

Bekas wartawan sambilan Khairulmizan Yahya, 40, menerima sumbangan itu bagi membantu beliau menguruskan dua anaknya Fath Ahnaf, 4, dan Afi Talhah sembilan bulan, yang diuji masalah kesihatan.

"Anak pertama mempunyai masalah saluran kencing tidak sempurna dan perlu berjumpa doktor setahun sekali manakala pemeriksaan doktor bagi masalah kulit ialah dua bulan sekali. Kami dimaklumkan anak perlu menjalani pembedahan untuk masalah saluran kencing, namun belum diputuskan lagi.

"Anak kedua pula dilahirkan tidak cukup bulan dan mengalami masalah alahan susu serta masalah salur pernafasan. Disebabkan itu, dia memerlukan susu khas berharga RM109 bagi tin 400 gram yang bertahan kurang seminggu," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Baging di sini hari ini.

Khairulmizan berkata Afi Talhah yang ditahan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, selama enam bulan selepas dilahirkan, kini perlu menghadiri janji temu di hospital sama beberapa kali setiap bulan.

Beliau yang berterima kasih atas pemberian itu pernah berkhidmat di Sinar Harian, Harian Metro dan Kosmo antara 2006 hingga 2022 dan kini bekerja sendiri.

Sementara itu, seorang lagi penerima Lee Meng Fui, 47, menerima sumbangan bagi membantu mengurangkan beban kewangannya yang tidak bekerja selepas menghidap masalah buah pinggang sejak 2020.

Lee perlu menjalani rawatan dialisis yang dilakukannya di rumah empat kali sehari dengan setiap sesi mengambil masa 30 minit.

"Ada peralatan perlu ditukar setiap enam bulan bagi mengelakkan risiko jangkitan," kata bekas wartawan Sin Chew Daily itu semasa ditemui di rumahnya di Perumahan Tiram Aman di sini.

Lee yang berpengalaman selama 18 tahun sebagai pengamal media kini mengambil upah sebagai penulis sambilan.

Khairulmizan dan Lee antara 35 rakan media yang menerima manfaat Tabung Kasih @HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas, yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama bagi menyantuni wartawan dan petugas media yang masih dalam perkhidmatan atau telah bersara yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.

-- BERNAMA