SEGAMAT: Penubuhan Tabung Kasih@HAWANA sejak 2023 mencerminkan komitmen Kementerian Komunikasi dalam mengiktiraf serta meraikan pengamal media sebagai “wira tak didendang” yang berkhidmat di sebalik pena dan kamera.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata memasuki tahun ketiga pelaksanaan, seramai 725 pengamal media yang berperanan sebagai penyampai maklumat sahih kepada rakyat telah diberikan bantuan melibatkan jumlah peruntukan RM2.114 juta.
Advertisement
Beliau berkata inisiatif itu turut membuka mata masyarakat terhadap jasa dan pengorbanan wartawan, pemberita serta jurukamera yang sering berdepan pelbagai cabaran ketika menjalankan tugas.
“Melalui tabung ini, kementerian dapat mengesan pengamal media yang sakit, berdepan masalah kesihatan, ditimpa musibah atau kemalangan sekali gus memahami kesulitan yang mereka alami.
“Ramai sebenarnya yang tidak tahu menjadi seorang wartawan ini adalah hero (wira) yang tak didendang... dan sering kali mereka yang di sebalik pena dan di sebalik kamera, orang tak tengok sangat tapi dengan Tabung Kasih@HAWANA, kita meletakkan para pejuang sektor media ini sebagai figura utama,” katanya.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan bantuan berkenaan kepada bekas wartawan Harian Metro Ahmad Ismail, 67, di Kampung Lubuk Batu di sini, yang berdepan masalah kesihatan termasuk kencing manis dan tekanan darah tinggi sejak 2012.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ahli Parlimen Sekijang Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Tabung Kasih@HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Bernama yang diperkenal pada April 2023 semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Fahmi juga berkata kementerian akan terus komited membantu pengamal media di seluruh negara termasuk mereka yang berstatus sambilan agar kebajikan golongan itu sentiasa terpelihara.
“Selepas lebih dua tahun pelaksanaan Tabung Kasih@HAWANA, inilah antara cara kita menyokong rakan-rakan media dengan usaha mengesan pengamal media yang memerlukan menerusi kerjasama dengan Bernama dan Gabungan Kelab Media Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ahmad yang turut menghidap penyakit saraf dan masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc sejak 2018 melahirkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA, yang disifatkan sebagai banyak membantu meringankan beban kehidupan.
“Bantuan ini amat bermakna… sekurang-kurangnya, ia dapat menampung perbelanjaan harian keluarga serta kos rawatan termasuk fisioterapi dan ubatan yang lebih berkualiti... sumbangan ini akan dimanfaatkan untuk rawatan kesihatan termasuk fisioterapi dan keperluan perubatan lain,” katanya.
Ahmad turut memuji usaha Kementerian Komunikasi dalam menjejaki pengamal media yang berdepan kesempitan hidup sehingga ke seluruh pelosok negara, dan menyifatkan ia sebagai satu usaha kemanusiaan yang sangat baik.
Anak kelahiran Segamat itu mula menceburi bidang kewartawanan pada 1999, dan telah berkhidmat selama 26 tahun dengan organisasi media utama seperti New Straits Times, Harian Metro serta Berita Harian.
Antara sumbangannya ialah laporan pendedahan mengenai pengorbanan agensi penyelamat ketika banjir dan usaha mengesan waris yang terpisah seperti semasa pandemik COVID-19.
Ahmad berkata laporannya mengenai haiwan peliharaan yang kelaparan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan turut mencetuskan inisiatif sebuah syarikat untuk menyumbang makanan haiwan secara percuma selama enam bulan.
Beliau berkata antara liputan paling memberi kesan sepanjang kerjayanya melibatkan kisah keluarga B40, golongan kurang upaya, gelandangan, anak yatim dan saudara baharu yang memerlukan bantuan.
Selain itu, antara kenangan yang sukar dilupakan ialah liputan tragedi lapan pelajar lemas pada 2014, beberapa kes kemalangan tragis dan kebakaran yang meragut nyawa satu kekeluarga.
Ahmad juga mengakui berdepan pelbagai cabaran sepanjang bertugas termasuk terpaksa menyiapkan laporan dalam keadaan menahan kesakitan akibat slip disc.
“Saya terpaksa berbaring ketika menyiapkan laporan kerana tidak tahan sakit belakang malah pernah bermalam dalam kereta selama lebih sehari apabila terkandas ketika banjir besar pada 2013.
"Kini, keadaan kesihatan tidak menentu akibat slip disc di bahagian tengkuk dan belakang selain gangguan saraf kaki, kolesterol, tekanan darah tinggi serta paras gula yang tidak stabil," katanya sambil menambah beliau kini tidak mampu berdiri, duduk atau memandu dalam tempoh yang lama.
-- BERNAMA