KOTA TINGGI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata taburan hujan luar biasa pada 4 dan 5 Jan yang melebihi taburan hujan bulanan dikenal pasti sebagai punca kejadian banjir di daerah itu sejak Ahad lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata keadaan diburukkan lagi dengan pertembungan fenomena air pasang besar yang menyebabkan air hujan tidak dapat disalirkan ke laut.

Sungguhpun begitu, beliau memuji usaha kerajaan negeri yang mengambil tindakan proaktif dengan melakukan persediaan tiga hari lebih awal sebelum banjir melanda berpandukan ramalan cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Apa yang penting kerajaan negeri telah mengkoordinasikan tindakan mereka melalui Pusat Kawalan Operasi Banjir di peringkat negeri dan daerah sebelum hujan lebat berkenaan berlaku," katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Taman Kota Jaya di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) juga telah menyalurkan wang bantuan mangsa banjir sebanyak RM50 juta kepada kerajaan negeri dan berharap ia akan diagih secepat mungkin.

"Saya mahu wang ini diagihkan sebelum mangsa banjir ini pulang ke rumah agar ia boleh digunakan untuk membeli barangan yang rosak dan makanan," katanya.

Ahmad Zahid juga berkata kerajaan negeri melalui Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mencadangkan pembinaan projek tebatan banjir di lembangan Sungai Johor yang merupakan kawasan penempatan kira-kira 10,000 orang.

Justeru, beliau akan membawa cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diperhalusi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga telah mengarahkan Nadma agar membeli 20 unit sistem penapisan air mudah alih (m-WFS) ciptaan SIRIM Bhd untuk digunakan di kawasan yang terputus bekalan air bersih akibat banjir.

"Hari ini kita telah menerima tiga unit penapis air ini dan berikutan produk ini bukan lagi di peringkat prototaip tetapi telah dikomersilkan, saya mahu Nadma beli 20 unit untuk digunakan jika perlu dan sebagai simpanan," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau juga mahu SIRIM menghasilkan pam berkuasa tinggi untuk digunakan oleh pihak berkuasa bagi mengalirkan air banjir ke sungai untuk mengatasi banjir termenung.

Beliau berkata meskipun kerajaan telah meluluskan pembelian pam air berkuasa tinggi bagi kegunaan di Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat pada tahun lepas oleh Nadma, ia belum sampai kerana perlu melalui prosedur perolehan selain dibeli dari luar negara.

"Dengan penghasilan pam ini, diharap kita dapat memperolehnya dengan segera dan pembeliannya tidak perlu melalui prosedur perolehan seperti biasa yang melibatkan ejen dan pihak komersil, pembeliannya boleh dilakukan secara terus dengan pengeluar," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia turut menggerakkan aset serta anggota batalion artileri dan infantri untuk membantu mangsa banjir di sini.

Setakat 6 petang tadi, terdapat sejumlah 7,909 mangsa banjir daripada 2,192 keluarga direkodkan di Johor dan masih berada di 53 pusat pemindahan sementara di enam daerah yang terjejas.

-- BERNAMA