PUTRAJAYA: Tadbir urus dan keselamatan kecerdasan buatan (AI) perlu menjadi pemudah cara kepada inovasi dan penerimagunaan teknologi itu secara bertanggungjawab, bukannya penghalang, menurut AI Malaysia Bhd.
Agensi peneraju AI di bawah Kementerian Digital itu memaklumkan pendekatan tersebut penting bagi mewujudkan keyakinan dalam kalangan perniagaan, kerajaan dan organisasi lain untuk menerima guna serta melaksanakan AI dengan lebih meluas.
Sehubungan dengan itu, AI Malaysia memaklumkan antara keutamaan semasa ialah Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI dan penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia serta menyelaras pelaksanaan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.
Pengerusi AI Malaysia Aireen Omar berkata organisasi itu mahu memastikan aspirasi AI negara diterjemahkan melalui pelaksanaan yang pantas dan berdisiplin selain mampu menghasilkan impak ekonomi serta sosial yang nyata.
“Fokus kami jelas, iaitu bergerak pantas, melaksanakan dengan penuh disiplin dan menghasilkan impak ekonomi serta sosial yang nyata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan Mesyuarat Lembaga Pengarah AI Malaysia pertama semalam yang turut menetapkan asas tadbir urus dan operasi organisasi berkenaan.
Aireen berkata Lembaga Pengarah bukan sekadar pemerhati pasif tetapi berperanan untuk memperkasakan AI Malaysia dalam membina keupayaan, mempercepat penerimagunaan AI merentas ekonomi dan memastikan Malaysia meraih nilai yang lebih besar daripada transformasi AI global.
Pada mesyuarat itu, Lembaga Pengarah meluluskan Piagam Lembaga Pengarah dan Had Kuasa sementara bagi menetapkan kerangka proses membuat keputusan, tanggungjawab serta kawalan organisasi.
AI Malaysia memaklumkan hala tujunya berteraskan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 dan aspirasi Negara AI 2030 yang menyasarkan Malaysia untuk bergerak daripada sekadar pengguna AI kepada negara yang turut mencipta penyelesaian, membangunkan keupayaan dan memiliki harta intelek AI.
Sebanyak 28 inisiatif nasional digariskan menerusi pelan tindakan itu bagi menterjemahkan aspirasi berkenaan kepada impak ekonomi dan sosial.
AI Malaysia turut akan meneruskan asas yang dirintis Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), antaranya Kod Etika AI secara sukarela, Boardroom Primer mengenai tadbir urus AI, Kajian Impak AI Sektor Awam dan Buku Panduan Kesiapsiagaan Set Data AI.
Agensi itu memaklumkan kerjasama dengan kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat akan diperkukuh bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan, mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta membangunkan bakat dan inovasi AI tempatan.
-- BERNAMA