KUALA LIPIS: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan anggota bomba  selepas kakinya tersangkut pada rim motosikal di Taman Fah Choon, di sini, pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.54 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis bergegas ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS.

"Sejurus tiba di lokasi pada pukul 11.58 pagi, anggota bomba mengesahkan kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki telah tersangkut di roda motosikal.

"Anggota bomba melakukan penugasan menyelamat dan berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersangkut dan diberi rawatan awal oleh anggota unit EMRS sebelum dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu malam.

Beliau berkata, tugas mengeluarkan kaki mangsa mengambil masa hampir 30 minit dan kanak-kanak lelaki itu turut mengalami kecederaan di bahagian kakinya itu.