Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah Najib: Pertikai keputusan Agong tidak selari dengan Perlembagaan - Ahmad Zahid

JAKARTA, 19 Sept - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media di sini hari ini sempena lawatan kerjanya ke Jakarta. Ahmad Zahid berkata pertemuannya dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto turut menyentuh kesediaan Indonesia menerima bantuan Malaysia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Zahid (foto) berkata keputusan Lembaga Pengampunan yang diperkenan Seri Paduka Baginda itu terikat dengan peruntukan perundangan yang menjadi panduan dalam keputusan pengampunan. -Gambar Bernama
Advertisement

JAKARTA: Mana-mana pihak yang mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tidak selari dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan Lembaga Pengampunan yang diperkenan Seri Paduka Baginda itu terikat dengan peruntukan perundangan yang menjadi panduan dalam keputusan pengampunan.

“Apa yang diputuskan oleh Lembaga Pengampunan, yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong adalah keputusan yang terikat dengan beberapa klausa dalam Perlembagaan Malaysia dan tentunya Tuanku telah mengambil perkiraan bahawa aspek perundangan menjadi panduan terhadap keputusan pengampunan.

“Jika mana-mana pihak yang mempertikaikan keputusan Tuanku Agong, ertinya ia tidak selari dengan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan, dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) sendiri berpendirian bahawa undang-undang itu harus dipatuhi.

“Pendirian itu adalah jelas sebagaimana kenyataan-kenyataan yang pernah saya keluarkan sebelum ini,” katanya dalam sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Jakarta selama empat hari, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi BN memaklumkan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan juga kekal positif susulan keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan Najib.

Jelasnya, dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, semua pihak bertindak profesional kerana keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif.

“Hubungan tetap baik dan biarpun kami ahli-ahli politik, tetapi dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, kita bertindak secara profesional dan itu tidak ada sebarang masalah kerana semua keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri adalah keputusan yang dibuat secara kolektif.

“Manakala hubungan peribadi setakat ini, alhamdulillah, cukup baik dan sebagai anggota di dalam Kerajaan Perpaduan, prinsip ketatasusilaan itu tetap kami jaga selagi kami berada di dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.

Must Watch Video

Advertisement