IPOH: Pengorbanan, kerja keras dan keikhlasan menabur bakti sebagai guru melayakkan V. Komathy menerima anugerah antarabangsa The Global Teacher Award 2021.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad dalam hantaran di Facebook berkata, pencapaian Guru Cemerlang Kimia dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ave Maria Convent di sini, amat membanggakan.

"Beliau dipilih daripada lebih 26,000 guru cemerlang dari seluruh dunia.

"Ia satu pencapaian yang amat membanggakan khususnya kita rakyat Perak.

"Seorang guru yang begitu komited kepada tugasnya dan tidak pernah jemu menghasilkan inovasi untuk menanam minat anak pelajarnya untuk mencintai sains," ujarnya pada Isnin.

Dalam pada itu, Saarani menambah minat terhadap pelajaran merupakan antara kunci kejayaan.

"Walaupun beliau masih terkejut dengan pengiktirafan ini, saya percaya kita semua termasuk anak-anak didiknya yakin kejayaan ini bukan satu kebetulan.

"Atas segala kerja keras, pengorbanan dan keikhlasan menabur bakti sebagai guru, beliau selayaknya menerima anugerah ini, tahniah Cikgu Komathy," jelasnya lagi.

Baru-baru ini, Komathy, 38, yang sudah 14 tahun berkhidmat menerima pengiktirafan antarabangsa itu pada majlis yang dianjurkan secara maya melalui laman Facebook rasmi dan saluran Youtube AKS Education Awards.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Pendidikan Kimia daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini sedang melanjutkan pelajaran kedoktoran dalam Pendidikan Kimia di universiti sama telah menghasilkan beberapa produk inovasi untuk mencungkil minat pelajar dalam subjek kimia hingga dikenali di peringkat antarabangsa.


Pendidikan | Cikgu Komathy menang 'The Global Teacher Award'

Antara produk inovasi berkenaan ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 iaitu produk PdPC Kimia dan Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable environment iaitu produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah.

Ibu kepada tiga anak itu berkata beliau berasa terkejut apabila menerima pemakluman daripada pihak penganjur bahawa berjaya memperoleh kemenangan anugerah tersebut menerusi emel pada 29 September lalu.

"Saya masih tidak boleh percaya dipilih sebagai pemenang daripada 321 calon yang terdapat dari Malaysia dan kira-kira 26,000 penyertaan dari negara lain.

"Daripada jumlah itu, 500 orang telah disenarai pendek termasuk enam calon rakyat Malaysia," katanya.