KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg selesai menyempurnakan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri, Petra Jaya pagi ini.

Solat sunat Aidilfitri dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak Sahibul Fadhilah Datu Mustapha Kamal Ahmad Fauzi yang menyampaikan khutbah bertajuk "Kembali Kepada Fitrah".

Tinjauan Astro Awani mendapati kesemua jemaah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dengan mengenakan pelitup separuh muka dan rata-rata jemaah mengambil wuduk di kediaman masing-masing bagi mengelakkan kesesakan di masjid.

Pada 24 Jun 2021, kapasiti solat Jumaat di Masjid Negeri dihadkan kepada 150 jemaah dengan penjarakan fizikal pada satu-satu masa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Jamek Sarawak ini mampu menampung kehadiran sehingga 14,000 jemaah lelaki dan perempuan.

Abdul Taib dijadualkan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula jam 11 pagi hingga 4.30 petang ini.

Manakala Abang Johari pula akan menganjurkan majlis sama pada Hari Raya kedua di Hotel Pullman Selasa ini bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

“Para tetamu yang hadir harus memastikan diri mereka sihat, tidak bergejala dan mematuhi SOP terbaharu Majlis Sambutan Hari Raya seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS),” jelas Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan.