KUALA LUMPUR: Tidak salah kecewa dengan politik, namun jangan sampai kekecewaan itu menghalang perubahan yang ingin dilakukan.

Itu amanat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada segelintir  anak muda yang dilihat berpatah arang berkerat rotan dengan situasi politik semasa.

"Jangan terlampau kecewa sampai tidak mahu bertindak. Orang muda banyak pengalaman kecewa bercinta. Saya pun ada juga dahulu (bercinta) masa di universiti tetapi dia takut, katanya saya terlalu radikal, saya kecewa tetapi ia tidak menghalangkan saya meneruskan hidup, akhirnya saya jumpa  Azizah (Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail).

"Memang kita ada masalah, excesses dahulu tidak teruk macam sekarang. Kes 1MDB, (Datuk Seri) Najib (Razak) sudah dipenjara tapi masalah masih berlaku.

"Isu Digital Nasional Berhad (DNB) mungkin cecah RM17 bilion, ada tender? Tak ada... Siapa punya? Diam... Kalau orang muda tidak bersuara, pembaziran akan berterusan," katanya ketika bercakap dalam Program Pentas Interaksi Anak Muda, pada Ahad.

Katanya, salah satu punca beliau berselisih faham dengan bekas perdana menteri terdahulu adalah kerana beliau memperjuangkan akses kepada pendidikan berkualiti dan bukan membazirkan wang dalam projek mega.

"Akses kepada pendidikan berkualiti perlu terus jadi keutamaan. Universiti yang lebih baik, kemudahan pendidikan yang lebih baik, pusat kajian yang lebih baik, peluang yang lebih baik untuk anak muda terokai skill baharu.

"Tetapi kita sibuk nak bangunan paling tinggi, jambatan paling panjang... ia akan menelan kos yang tinggi. Sampai bila nak bangga dengan bangunan tinggi? Keutamaan kita lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata adalah tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa perubahan hanya akan berlaku dengan adanya pemimpin muda.

"Perubahan tidak boleh berlaku hanya dengan orang muda sahaja. Kita lihat zaman Rasulullah S.A.W., sahabat Saidina Abu Bakar, berusia, waras dan berilmu. Saidina Umar, lebih muda, keras dan tegas, Saidina Uthman pula diplomatik, Ali Abi Talib, muda tegas dan berilmu.

"Jadi kekuatan harus merangkumi semua. Jangan tuntut perubahan itu daripada anak muda, yang tidak diuji dan kita tidak tahu dia akan lompat ke mana.

"Gabungan harus kuat, perlu beri ruang yang cukup kepada anak muda kerana mereka yang akan tentukan dasar kini dan masa depan," katanya lagi.