SHAH ALAM: Penarikan balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi Syarikat Alagappa Flour Mills Sdn Bhd disebabkan ketidakpatuhan pihak syarikat terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan berkata, status halal produk yang dikilangkan oleh syarikat sebelum 12 Mac 2024 tidak terjejas.

“Suka untuk diingatkan bahawa sesuatu produk yang tidak dipersijilkan halal atau tidak mempunyai SPHM bukan membawa maksud produk tersebut haram.

“Sekiranya satu-satu produk tersebut menerima SPHM maka ia pastinya telah memenuhi keperluan digariskan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan standard halal serta peraturan yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, amalan terbaik perlu dipraktikkan secara berterusan dalam membuat pemilihan produk atau perkhidmatan yang dipersjilkan halal kerana produk dan perkhidmatan dengan SPHM pasti halal, selamat serta lebih baik.

Susulan penarikan SPHM itu, Syarikat Alagappa Flour Mills menerusi laman sosial Facebook memuat naik satu hantaran yang memperjelaskan isu berkenaan.

Alagappa Flour Mills berkata, hal tersebut tiada sebarang kaitan dengan penggunaan mana-mana bahan mentah atau ramuan yang tercemar dengan bahan haram mahupun isu kebersihan.

“Pada peringkat awalnya, syarikat hanya dikenakan tindakan penggantungan sijil halal sahaja. Hal ini disebabkan oleh beberapa kesalahan teknikal yang tidak kritikal. Pihak syarikat diberi masa untuk melakukan penambahbaikan terhadap ketidakakuran tersebut.

“Bagaimanapun, disebabkan beberapa kekangan berkenaan tenaga kerja menyebabkan penambahbaikan dan penutupan laporan ketidakakuran tersebut tidak dapat ditutup dengan sempurna pada masa yang telah diperuntukkan sehingga menyebabkan sijil halal kami ditarik balik,” jelas kenyataan.

Susulan itu, Alagappa Flour Mills secara drastik telah memperkasa tenaga kerja syarikat khusus terhadap bahagian Eksekutif Halal, Jawatankuasa Halal Dalaman dan menubuhkan Alagappa’s Halal Department untuk menerajui segala hal ehwal berkaitan pengurusan halal syarikat.

Tambahnya, pihak syarikat juga telah melakukan permohonan semula untuk mendapatkan pensijilan halal syarikat daripada pihak Jakim.

“Sekiranya tiada halangan, syarikat kami akan melalui proses audit semula selewat-lewatnya pada bulan Mac 2024 ini,” katanya. - Sinar Harian