Skip to main content

Teknologi

Anthropic lancar Claude Fable 5 dengan ciri keselamatan dipertingkat

Sumber: AMANZ
Model tersebut dilaporkan mengatasi semua versi Claude terdahulu dalam kebanyakan ujian penanda aras melibatkan kejuruteraan perisian, sains, penglihatan komputer serta tugasan kompleks jangka panjang. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Syarikat penyelidikan kecerdasan buatan (AI), Anthropic, melancarkan model terbaharu Claude Fable 5 di bawah kategori “Mythos”, yang dilengkapi ciri keselamatan dipertingkat untuk kegunaan umum, lapor Amanz.

Menurut kenyataan syarikat itu, model tersebut dilaporkan mengatasi semua versi Claude terdahulu dalam kebanyakan ujian penanda aras melibatkan kejuruteraan perisian, sains, penglihatan komputer serta tugasan kompleks jangka panjang.

Anthropic turut memperkenalkan varian lain, Claude Mythos 5, yang menawarkan spesifikasi setanding namun dengan sekatan keselamatan lebih longgar bagi pengguna terpilih seperti pakar keselamatan siber melalui inisiatif Project Glasswing.

Ujian awal oleh pengguna mendapati Fable 5 berupaya memendekkan tempoh penyelesaian tugasan kompleks daripada beberapa bulan kepada hanya beberapa hari.

Model itu juga dilengkapi keupayaan penglihatan komputer yang membolehkannya membina aplikasi web berdasarkan tangkapan skrin serta mengekstrak data daripada carta dan graf.

Bagi memastikan keselamatan, Anthropic menyepadukan sistem kawalan yang akan menukar operasi Fable 5 kepada model lain secara automatik apabila mengesan input berkaitan topik sensitif seperti biologi, kimia, keselamatan siber dan pembangunan kod berisiko.

Langkah itu bertujuan mengurangkan potensi penyalahgunaan, khususnya dalam konteks eksploitasi sistem digital.

Akses kepada Claude Fable 5 kini dibuka kepada pelanggan berbayar Anthropic bermula hari ini.

 

Must Watch Video

Advertisement