Skip to main content

Malaysia

Rakaman saksi bantu siasatan kebakaran besar Gok Kapur

kebakaran di Kampung Gok Kapur yang dianggarkan oleh pihak bomba melibatkan 26 buah rumah yang melibatkan 130 mangsa
Bomba berkata, beberapa hipotesis sedang diteliti termasuk kemungkinan kebakaran berpunca daripada kegagalan sistem elektrik, aktiviti memasak atau perbuatan bermain api. - Gambar fail

KOTA BHARU: Rakaman dan keterangan saksi berada di lokasi kebakaran Kampung Gok Kapur menjadi antara petunjuk penting dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang memusnahkan 27 rumah pada Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata pihaknya sedang meneliti semua maklumat diperoleh daripada penduduk serta individu yang menyaksikan kejadian itu bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Kita telah mengambil beberapa rakaman daripada saksi dan individu yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku. Semua maklumat itu sedang diteliti bagi membantu mengenal pasti punca kebakaran.

“Selain itu, empat sampel turut diambil dari lokasi kejadian dan telah dihantar ke makmal semalam untuk dianalisis,” katanya kepada Bernama hari ini.

Farhan Sufyan berkata keputusan analisis makmal dijangka diperoleh dalam minggu ini, sekali gus membantu pihaknya mengesahkan punca kebakaran yang mengakibatkan puluhan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Beliau berkata berdasarkan corak kebakaran dikenal pasti di lokasi, beberapa hipotesis sedang diteliti termasuk kemungkinan kebakaran berpunca daripada kegagalan sistem elektrik, aktiviti memasak atau perbuatan bermain api.

“Kita juga tidak menolak sebarang kemungkinan lain dan semua aspek masih dalam siasatan. Keputusan hanya dapat dibuat selepas analisis makmal selesai,” katanya.

Pada Isnin lepas, sebanyak 27 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gok Kapur, dan pasukan forensik bomba masih menyiasat punca kejadian.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement