Menjelang bulan Ramadan, isu mendapatkan bekalan makanan terutamanya pada waktu sahur yang agak kritikal pasti menjadi kebimbangan dalam kalangan orang ramai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berpendapat, tiada keperluan untuk premis makanan menambah waktu operasi perniagaan bagi tujuan memudahkan orang ramai mendapatkan makanan.

Menurut Nadzim, perkara itu dikhuatiri mendatangkan beban serta risiko khsusus bagi mereka yang bertugas sebagai penghantar makanan meskipun mereka berada dalam kategori perkhidmatan penting.

“Matlamat kita sekarang nak kurangkan pergerakan. Apabila ada operasi sehingga awal pagi, kita bimbang mereka (rider) letih atau tertekan, dan perkara itu mampu mendatangkan risiko kemalangan.

“Kita faham keadaan mereka untuk cari duit. Kadang-kadang mereka terpaksa buat untuk dapatkan pendapatan, cuma kita tak nak dia jadi beban untuk mereka.

"Kita sebagai pengguna sepatutnya buat perancangan awal jadi tak melibatkan pesanan yang berulang," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu.

Ujar Nadzim lagi, apa yang terbaik baginya adalah seseorang individu itu membuat perancangan awal ketika bulan Ramadan semasa PKP ini bagi mendapatkan bekalan makanan mereka terutamanya pada waktu sahur.

"Bila kita nak sesuatu kita perlu rancang, bila buat pesanan banyak kali itu melibatkan kos jadi kita rancang dan membuat pembelian berdasarkan keperluan untuk elak pembaziran.

"Situasi buat masa ini antara perspektif positif sebenarnya mengajar kita untuk menjadi lebih berdisiplin yang lebih menjadikan kehidupan kita lebih terancang," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut menyentuh mengenai aduan berkaitan peniaga yang mengambil kesempatan ketika PKP dalam meraih keuntungan lebih ketika waktu sukar ini.

“Peniaga apabila tak dididik dengan nilai, matlamat mereka hanya untuk mencari untung dan soal keberkatan itu mereka tolak tepi.

"Contohnya, penipuan dari segi timbang, terutamanya pembelian kurma ketika menjelang Ramadan tak ikut sukatan yang dipesan jadi bila barang dah sampai rumah pengadu susah nak ambil tindakan dan mereka susah nak buat aduan ketika PKP ini," katanya.