MALAYSIA
Tak perlu pernafasan mulut, pakar kongsi teknik CPR

Kajian pada 2022 mendapati 80 peratus masyarakat cakna mengenai CPR tetapi jumlah yang mengetahui tekniknya adalah sedikit. - Gambar hiasan/ Unsplash
PUTRAJAYA: Tidak perlu ‘rescue blow’ atau pernafasan dari mulut ke mulut untuk prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR) untuk menyelamatkan mangsa yang rebah secara tiba-tiba, kata Prof Dr Ismail Mohd Saiboon.
Pakar perunding kanan Perubatan Kecemasan Fakulti Perubatan HCTM UKM itu berkata kajian pada 2022 mendapati 80 peratus masyarakat cakna mengenai CPR tetapi jumlah yang mengetahui tekniknya adalah sedikit.
“Kebanyakan (masyarakat percaya) mitos CPR boleh membahayakan mangsa dengan menyebabkan tulang patah ataupun tiada selera nak cium atau tiup ke arah mangsa, itu sebenarnya satu perkara yang telah diatasi,” katanya
Dr Ismail berkata UKM dengan kerjasama Klinik As-Salam dan Salam Edumed telah memperkenalkan teknik FitCPR dengan modul 5T iaitu dengan hanya menekan di bahagian dada.“Mula-mula tengok kawasan itu selamat atau tidak, tegur mangsa untuk melihat respons, kemudian jerit meminta pertolongan, keempat teliti dada mangsa sama ada bernafas atau tidak dan terakhir kita mulakan tekanan,” katanya.
Tambahnya tekanan dada perlu dilakukan pada kadar sekitar 100 kali seminit untuk memastikan aliran darah ke otak dan organ.
“Untuk mangsa yang tiba-tiba pengsan, pernafasan tidak penting untuk beberapa minit, tapi yang lebih penting adalah mulakan tekanan supaya darah yang ada dalam badan (mangsa) dialirkan keseluruh badan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa wawancara bersama Astro AWANI di sambutan Hari Doktor Keluarga Sedunia 2025 (WFDD) FitCPR Run di Akademi Perubatan Malaysia, di sini, hari ini.
Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA) dan Akademi Doktor Keluarga Malaysia (AFPM) di Akademi Perubatan Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau turut menyarankan agar sebuah rumah sekurang-kurangnya mempunay seorang penghuni yang mengetahui teknik CPR apabila berhadapan dengan situasi seperti serangan jantung.
“Setiap rumah kalau boleh ada yang tahu teknik CPR kerana serangan jantung adalah ‘pembunuh’ utama, apabila jantung terhenti pernafasan (turut) terhenti, kalau dibiarkan akan mati dan kita kena memulakan langkah penyelamatan segera iaitu CPR,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, orang ramai boleh menjalani latihan teknik CPR secara terperinci di hospital kerajaan dan swasta serta program yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Belajar CPR (kerana) suatu hari nanti kita akan menyelamatkan ahli keluarga sendiri, tak perlu cerita (soal) orang luar,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami