Rancakkan MADANI sasar 300,000 pengunjung - KSN

Shamsul Azri ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan bagi Menyantuni Pengguna MRT di Stesen MRT Cyberjaya City Centre Limkokwing hari ini. - Gambar Bernama
CYBERJAYA: Sebanyak 300,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Rancakkan MADANI) yang berlangsung selama tiga hari bermula esok di pekarangan Dataran Putrajaya.
Ringkasan AI
- Program Rancakkan MADANI dijangka tarik 300,000 pengunjung selama tiga hari, dengan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik untuk semua lapisan masyarakat.
- 5,000 kekosongan pelbagai jawatan ditawarkan dalam program tersebut, sementara Timbalan Perdana Menteri bakal berkongsi pentas pada forum kelima pada hari Ahad.
- Forum Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 akan membincangkan isu-isu penting termasuk reformasi birokrasi, sektor kesihatan, pendidikan, kemiskinan, serta pencapaian tiga tahun Kerajaan MADANI.
"Macam-macam acara ada, program kita kali ini untuk semua orang daripada peminat kucing, yang rambut sudah panjang boleh potong secara percuma, kalau penunggang dan pembonceng motosikal pula kita ada sediakan 5,000 topi keledar percuma," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi menyantuni pengguna tren transit aliran massa (MRT) dengan menaiki tren dari stesen Cyberjaya City Centre Limkokwing ke Putrajaya Sentral hari ini.
Shamsul Azri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Rancakkan MADANI, berkata sebanyak 5,000 kekosongan pelbagai jawatan ditawarkan pada program itu.
Beliau berkata kemuncak Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 pada Ahad bakal menyaksikan kemunculan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bakal berkongsi pentas pada forum kelima bermula 9 pagi.
"Pada 6 Dis ini, ada lima forum utama dan saya jemput orang ramai yang ingin tahu tentang hala tuju kerajaan... Ahad ini acara kemuncak forum dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri akan jadi ahli panel," katanya.
Ahmad Zahid dan Fadillah akan mengupas topik perbincangan forum bertajuk "Kerajaan MADANI: Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan".
Forum itu juga bakal mengupas pelbagai isu antaranya Reformasi Kerenah Birokrasi: Analisis Pencapaian dan Islah Berterusan; Memperkukuh Sektor Kesihatan, Pendidikan dan Kemiskinan serta Tiga Tahun Kerajaan MADANI: Perspektif Perkhidmatan Awam.
Rancakkan MADANI turut menampilkan segmen Kepengerusian ASEAN yang diselaras oleh Kementerian Luar dengan pelbagai aktiviti antaranya pameran replika ASEAN Summit Dome, sorotan pencapaian sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 dan sesi libat urus serta aktiviti interaktif bersama pengunjung.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


