KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul berkata tiada keperluan untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Wee Ka Siong yang didesak membetulkan kenyataan dibuat di Parlimen berhubung isu pengimportan telur dari India.

Beliau berkata ini kerana setiap percakapan Ahli Parlimen ketika di dalam dewan adalah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Tidak payah siasat, tengok Perlembagaan. Ahli Parlimen apa juga yang dia bercakap asalkan tidak bercanggah dengan Akta Hasutan dan juga tidak menghina Raja-Raja, dia boleh cakap apa juga.

"Tidak ada mana-mana undang-undang yang boleh dikenakan terhadap Ahli Parlimen yang cakap dalam Parlimen. Kalau dia bercakap di luar Parlimen, lain cerita," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Johari diminta mengulas gesaan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mahu beliau melakukan siasatan terhadap dakwaan Wee.

BACA: Wee Ka Siong dakwa terima ugutan isu bekalan telur import

Semalam, Wee memberitahu Dewan Rakyat beliau telah dihubungi seorang individu yang menuntut penarikan balik kenyataan dibuatnya di Parlimen mengenai pengimportan telur dari India.


-- BERNAMA