KOTA BHARU: Bertukar portfolio bukanlah satu masalah, demikian reaksi Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Tenaga Dan Sumber Asli.

Mengakui bukan tergolong dalam kepakaran beliau, namun Ahli Parlimen Kota Bharu dari Pas itu berkata, kementerian yang diterajuinya itu akan turut melibatkan aspek perundangan berkaitan tanah dan galian.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ini kabinet baharu Ismail Sabri

BACA: Ucapan penuh Ismail Sabri: Pembentukan Kabinet baharu

Sehubungan itu, Takiyuddin yakin pengalaman memegang portfolio Undang-Undang dan Parlimen sebelum ini dan sokongan pegawai kerajaan, sasaran pencapaian awal 100 hari ditetapkan Perdana Menteri dapat dicapai.

“Itu terpulang kepada penilaian masing-masing ada orang kata saya dinaikkan (kementerian). Ada orang kata (tugas menteri) Parlimen dan Undang-Undang, kementerian pun tak ada kita letak bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Bukan saya hendak bandingkan, cuma bagi saya ia bergantung kepada individu. Saya bertekad bekerja sebaik mungkin,” katanya.

Kabinet Malaysia | Takiyuddin tiada masalah tukar portfolio


Mengulas mengenai keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan majoriti muka lama dalam Kabinet, Takiyuddin percaya Perdana Menteri mempunyai perancangan tersendiri.

“Saya kira Perdana Menteri sudah tentu mempunyai perancangannya sendiri walaupun kita meneruskan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tetapi Perdana Menteri mempunyai perancangan sendiri dan sasaran pencapaian kerja tersendiri. Oleh sebab itu berlaku pengubahsuaian walaupun sebahagian besar menteri sama,” tambah beliau.

[INFOGRAFIK] Barisan Kabinet Malaysia 2021


Sementara itu, Setiausaha Agung Pas itu berkata parti itu berpuas hati dengan komposisi Kabinet yang dibentuk oleh Perdana Menteri.

“Kita pada dasarnya berpuas hati walaupun kita hanya diminta mengangkat nama sahaja tetapi dengan pelantikan yang dibuat, kita berpuas hati terutama apabila portfolio Hal Ehwal Islam diberikan kepada Pas.

“Kita berasakan kita amat mengalukan dan kita boleh menyumbang kepada pembangunan Islam kerana kita ada pengalaman di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah,” ujarnya.

Selain Takiyuddin, dua lagi Ahli Parlimen Pas dilantik menjadi menteri dalam Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presidennya, Idris Ahmad dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikekalkan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.