Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa supaya satu akta khusus pengharaman dan penjualan pelbagai jenis rokok termasuk vape dan rokok elektronik digubal dengan segera.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Lekhraj Rampal berkata situasi amat membimbangkan di negara ini melibatkan penggunaan pelbagai jenis rokok.

Malah, jelasnya isu tersebut kini melanda institusi pendidikan di negara ini termasuk di sekolah rendah.

"Daripada pihak saya, haramkan juga semua jenis rokok elektronik, shisha dan segala jenis produk berkaitan tembakau. Kita harap akan ada pengakhiran bagi isu ini.

"Kita juga mahu kerajaan menetapkan jangka masa supaya generasi baharu, anak-anak yang baharu dilahirkan ini tiada tabiat merokok. Ini yang kita maksudkan sebagai menamatkan 'riwayat' (end game)," katanya kepada media pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucaptama dan pembentangan bengkel Vape Ancaman Kepada Remaja di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia di sini yang turut dihadiri pegawai perubatan, kaunselor, guru dan wakil beberapa persatuan ibu bapa dan guru.


Mengulas lanjut Dr Lekhraj berkata kerajaan juga perlu menaikkan kadar cukai produk tembakau termasuk mengenakan cukai kepada produk rokok elektronik sekiranya enggan mengharamkan penggunaannya.

"Gunakan wang daripada kenaikan kadar cukai produk tersebut kepada perokok semula. Siapa yang bagi cukai? Perokok. Cukai dikutip daripada mereka.

"Jadi jika mereka ingin berhenti merokok, apa yang harus kita buat? Kita patut bantu mereka dan memberi rawatan percuma, bukannya mereka yang perlu bayar.

"Satu lagi cadangan kepada kerajaan adalah menggunakan hasil cukai itu kepada perokok bagi pencegahan dan pengurusan tembakau," katanya.

Justeru, beliau berharap supaya Kabinet dan semua Ahli Parlimen bersetuju akan penggubalan akta tersebut yang diharap dapat diwartakan suku pertama tahun hadapan.