KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membina lebih banyak lorong motosikal kerana kajian menunjukkan ia mampu mengurangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal sehingga 40 peratus.

Pakar keselamatan jalan raya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Kulanthayan KC Mani berkata, banyak negara, kadar kemalangannya rendah kerana penggunaan motosikal juga rendah.

Begitupun di Malaysia, hakikat harus diakui bahawa motosikal adalah antara komponen penting dalam sistem pengangkutan Malaysia.

“Salah satu cara untuk mengurangkan kemalangan adalah dengan menyediakan lorong motosikal kerana ia boleh mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 40 peratus.

“Ia adalah langkah pencegahan yang memang terbukti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas siri syarahan sulungnya “Keselamatan Kanak-Kanak Di Jalan Raya” di UPM pada Jumaat.

Tambah beliau, Malaysia adalah negara pertama memperkenalkan lorong motosikal dan seharusnya ia perlu diperluaskan.

“Kita telah memperkenalkan pendekatan ini kepada komuniti global, dan langkah seterusnya ialah meningkatkannya.

“Jika kerajaan boleh menambah bilangan lorong motosikal di tempat yang diperlukan, ia akan menjadi kaedah yang berkesan dalam mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

Kulanthayan juga menggesa kerajaan supaya menyelenggara laluan motosikal dengan baik kerana jika tidak, penunggang terpaksa kembali ke aliran trafik utama.

“Kekalkan dengan baik apa yang anda ada dan pada masa yang sama, tambah yang baharu. Itu satu cara untuk maju ke hadapan,” katanya.

Menurut statistik Kementerian Pengangkutan, beliau berkata, lebih 6,000 orang maut dalam nahas tahun lepas, termasuk kira-kira 1,000 kanak-kanak.

Kulanthayan berkata kajiannya mendapati punca kemalangan yang begitu tinggi adalah kerana bilangan kenderaan persendirian di jalan raya lebih banyak berbanding pengangkutan awam.

“Negara-negara yang telah banyak melabur dalam pengangkutan awam, terutamanya dalam perkhidmatan kereta api, mempunyai kadar kemalangan yang jauh lebih rendah,” tambahnya.