KUALA LUMPUR: Tambahan RM1 bilion dalam kemudahan dana mikrokredit daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion bagi 2026 perlu disertakan dengan prosedur permohonan yang lebih mudah, terma pembiayaan berpatutan dan kelulusan serta pembayaran lebih pantas.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Jacob Lee Chor Kok langkah itu penting ketika perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menghadapi tekanan akibat peningkatan kos operasi dan kekangan aliran tunai.
“Kerajaan juga perlu memastikan akses pembiayaan yang mencukupi untuk pengilang kecil dan perniagaan berkaitan pembuatan yang layak.
“Langkah-langkah ini dapat membantu menyediakan sumber untuk perniagaan mengekalkan operasi, mengekalkan pekerja dan melaksanakan pelaburan yang meningkatkan produktiviti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos lepas, mengumumkan enam langkah segera yang bertujuan untuk mengurangkan tekanan kos terhadap perniagaan dan isi rumah menjelang Belanjawan 2027.
Dalam pada itu Lee berkata FMM turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk memperkenalkan langkah-langkah yang boleh menyediakan sokongan segera ketika perniagaan terus menghadapi tekanan kos operasi, kekangan aliran tunai dan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar dan kompetitif.
"Walaupun beberapa inisiatif disasarkan terutamanya kepada isi rumah dan komuniti yang lebih luas, ia juga akan memberi kesan limpahan positif kepada perniagaan dan ekonomi," katanya.
Selain itu, FMM juga mengalu-alukan langkah meningkatkan ambang jualan tahunan bagi e-Invois mandatori kepada RM3 juta daripada RM1 juta di bawah ambang pengecualian e-Invois yang lebih tinggi kerana ini akan membantu perniagaan lebih kecil mengurangkan kos pematuhan dan keperluan pentadbiran dan sumber yang diperlukan untuk melaksana dan menyelenggara sistem e-Invois.
Bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta dan RM3 juta yang telah melaksanakan e-Invois di bawah ambang sebelumnya, FMM meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia untuk memberikan penjelasan awal sama ada mereka boleh memilih untuk tidak mengikuti ambang yang disemak semula atau terus menyertai secara sukarela.
Lee berkata perniagaan yang telah melabur dalam sistem dan memulakan pelaksanaan perlu terus diberi sokongan dan bimbingan teknikal yang sewajarnya sebagai pengguna awal.
-- BERNAMA