GEORGE TOWN: Warga Malaysia yang menggunakan perkhidmatan bot penumpang laju di Pulau Pinang boleh menikmatinya secara percuma bermula 1 Julai sehingga 31 Dis tahun ini.

Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, inisiatif itu antara usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bagi meringankan beban rakyat ketika pandemik COVID-19 sekarang ini.

"Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membiayai tambang perkhidmatan feri (bot penumpang laju) bagi penumpang pejalan kaki berstatus warganegara Malaysia, jadi mereka boleh naik secara percuma bermula bulan depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembiayaan tambang bot itu melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000 tiket sebulan, jumlah keseluruhan peruntukan adalah dianggarkan sebanyak RM468,000.

Pada 1 Jan lepas, bot penumpang laju menggantikan perkhidmatan feri yang sudah digunakan sejak 126 tahun di negeri ini bagi menghubungkan penumpang antara pulau dan Perai.

Feri sedia ada juga hanya digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama.

Zairil berkata, cadangan itu juga adalah susulan kepada perkhidmatan pas perjalanan My30 yang telah dilancarkan pada 1 Mac lalu, yang kerajaan negeri turut membiayai perkhidmatan bas awam milik Rapid Penang secara percuma kepada semua penumpang yang melanggan pas tersebut.

Katanya, kerajaan negeri berharap dengan pembiayaan tambang bot itu, jaringan pengangkutan awam melalui air dan darat secara menyeluruh dapat digunakan secara percuma oleh pengguna pengangkutan awam di Pulau Pinang.

"Penumpang hanya perlu membawa MyKad/Kad Pengenalan sahaja dan perlu tap di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sebelum menaiki bot," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga berharap dengan pembiayaan tambang bot pada saat kritikal ini, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan orang ramai yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam. - BERNAMA