IPOH: Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan laluan di kawasan tanah runtuh di Kilometer (KM) 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan selamat untuk dilalui pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pemantauan berterusan dan langkah mitigasi telah diambil oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan trafik terjamin setiap masa.
“Perjalanan di laluan berkenaan dijamin selamat berikutan tindakan pantas PLUS dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menutup cerun terjejas menggunakan plastik kalis air dan mengalirkan air hujan, sekali gus membolehkan laluan dibuka semula dalam tempoh kurang 24 jam.
“Penggunaan plastik kalis air itu bertujuan menghalang air hujan daripada terus meresap dan melembutkan struktur tanah jika berlaku hujan susulan,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan dan pemantauan lokasi kejadian berkenaan di sini, hari ini.
Semalam, polis mengumumkan penutupan lorong kiri kawasan tanah runtuh itu dengan pemasangan kon keselamatan sepanjang satu kilometer dari KM262.8 hingga KM263.8.
Menyentuh mengenai langkah keselamatan jangka panjang, Mohammad Nizar berkata pihak PLUS sedang merangka cadangan pengukuhan struktur cerun serta pemasangan jaring besi di kawasan berisiko tinggi.
Beliau berkata pendekatan teknologi terkini menerusi penggunaan satelit dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) juga berkemungkinan digunakan bagi mengesan pergerakan batu atau struktur tanah secara tepat.
“Kita juga mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam di lokasi strategik dan peningkatan frekuensi rondaan oleh pihak PLUS di kawasan berisiko sekali gus membantu mengesan kejadian lebih awal.
“Penggunaan teknologi satelit menerusi kerjasama JKR juga akan dimanfaatkan bagi mengesan sebarang pergerakan batu mahupun tanah secara lebih pantas dan tepat seperti yang diguna pakai semasa insiden tanah runtuh di Blue Valley (Pahang) sebelum ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kejadian hakisan cerun di lokasi berkenaan berpunca daripada faktor cuaca ekoran intensiti hujan lebat luar biasa yang mencatatkan bacaan 65 milimeter (mm) berbanding kadar kebiasaan sekitar 40 mm.
-- BERNAMA